so cute


Friday, 5 April 2013

Bahasa cinta si pemilik cinta

Menurut karangan tuan guru, Syeikh Ibrahim bin Muhammad, "Hanya pencinta yang memahami bahasa cinta!"

Memang benar, kerana cinta Laila, Majnun dianggap gila. Namun Majnun tidak kecewa kerana hanya dia sahaja yang mengerti bahasa cintanya. Mana mungkin dikau cintakan kepanasan tanpa dikau mengenali api? Mana mungkin dikau cintakan kegelapan tanpa dikau kenali malam? Mana mungkin dikau cintakan cahaya tanpa dikau kenali matahari?


Begitu juga cinta ALLAH SWT. Mana mungkin dikau cintakan ketenangan tanpa mengenali pemberian ketenangan itu. Mana mungkin dikau cintakan rezeki tanpa mengenali pemberi rezeki itu. Lihatlah, pandanglah segala yang dikau rasakan indah. Semuanya daripada tuhanmu. Andai dikau cintakan kesemuanya, lalu dikau langsung tidak mengenali siapa yang empunya kesemuanya, bukankah engkau layak digelar biadap?


Analogi, dikau cintakan seorang gadis perawan. Lalu dikau pikat hatinya. Dikau tawan jiwanya. Dan dikau mencintainya sepenuh hatimu. Tiap hari dikau labuhkan dan sembahkan cintamu yang padu untuknya. Padahal dalam masa yang sama, dikau tidak mengenali langsung dan tidak pernah peduli siapa ibu bapanya. Adakah wajar begitu? Jika tiada ibu bapanya, mana mungkin lahir wanita itu. Jadi, bukankah tindakanmu itu layak digelar tindakan yang biadap? Itu baru manusia, bagaimana pula dengan ALLAH SWT? Semuanya yang dikau lihat, fikir, dengar, sentuh, rasa, semuanya daripada-Nya. Dikau damba semuanya, dikau persembahkan cinta padu seluruh jiwa. Namun, hatimu langsung tidak mempedulikan pencipta bagi semuanya itu. Lantas bagaimana cintamu itu? Ke mana kesudahan cintamu itu? Ibarat pemuda yang mencintai gadis tadi, hubungan mereka terlarang, cinta mereka akan terlerai jua tanpa restu ayah dan ibu. Begitulah jua cintamu pada dunia. Andai dikau tidak peduli dan mengenali siapa tuhannya, cintamu itu cinta terlarang. Kelak, ia akan terlerai jua walau di hadapanmu semuanya terbentang.


Mengapa mengejar cahaya tanpa mengejar mencari mentari? Wajarkah manusia mengeluh kegelapan di dalam gua pada siang hari? Mengapa dia tidak keluar, merasakan cahaya kiriman mentari. Tidak guna berpeluk tubuh mendambakan cinta pada cahaya, jika diam pada destinasi gelap. Keluarlah mencari mentari. Tidak guna berdiam, mengeluh mahukan cinta tuhan, tanpa dikau mentaati suruhan. Kerahkan segenap kemampuanmu untuk memelihara yang difardukan. Tundukkan hatimu untuk meraih cinta sejati daripada Rabbi. Adakah sudah berputik cahaya cinta ALLAH SWT di dalam hatimu itu? Atau pada saat ini, dikau masih keliru, siapa DIA di hatimu?



AbdiNya : Roshidaya Abdul Rahim

4 comments: