so cute


Friday, 5 April 2013

Beliau mati kerana takutkan ALLAH...

Pada suatu masa dahulu, tinggal seorang pemuda di zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khatab. Pemuda ini merupakan seorang yang tinggi cinta dan takwanya kepada ALLAH SWT. Beliau berzuhud pada kehidupan dunia yang maya kerana mencari cinta sebenar yakni cinta daripada Tuhan Yang Maha Pencipta. Hatinya dikalungkan pada rumah ALLAH SWT.Tiap masa dan ketika, jiwanya meronta-ronta untuk pergi beriktikaf dan berjemaah di rumah ALLAH SWT.


Setiap hari, pemuda ini akan melalui beberapa buah rumah dalam perjalanannya ke masjid. Salah sebuah rumah itu adalah rumah yang didiami oleh seorang gadis perawan. Siapa sangka, gadis ini jatuh hati kepada lelaki budiman itu tadi. Setiap hari apabila lelaki ini melintasi halaman rumah gadis itu untuk ke masjid, gadis tersebut pasti akan mengintai pemuda yang menjadi idaman hatinya dari balik tirai jendela.


Suatu hari, tiada siapa di rumah gadis tersebut. Kebetulan pemuda ini melintasi rumah gadis itu untuk ke masjid seperti hari-hari lainnya. Pada kesempetan ini, gadis perawan itu mengambil peluang untuk menggoda pemuda budiman ini. Sebaik sahaja pemuda ini melintasi rumah gadis itu, dia terlihat gadis perawan itu mengenakan pakaian cantik-cantik dan memanggil pemuda itu masuk ke dalam rumahnya. Gadis tadi menggoda pemuda itu sepenuh dayanya agar pemuda itu tertewas dan masuk bersama ke dalam rumahnya. Lalu, pemuda tadi terikut masuk atas godaan gadis perawan itu.


Semasa berada di pintu rumah gadis itu, sewaktu kakinya melangkah untuk langkahan seterusnya menuju ke arah gadis perawan itu, tiba-tibanya akalnya teringat sesuatu. Hatinya membisik sesuatu. Beliau teringat akan sepotong firman ALLAH SWT...

"Sesungguhnya apabila orang-orang yang bertakwa ditimpa waswas daripada syaitan, mereka ingat kepada ALLAH SWT, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya..."
(Al-A'raf, 201)


Lalu, pada ketika itu juga tubuhnya terketar-ketar, wajahnya bertukar pucat dan timbul ketakutan yang amat dahsyat. Sejurus itu, pemuda tadi tersungkur pengsandi rumah gadis itu. Gadis tadi yang dalam kebingungan terus memanggil orang ramai, lalu menghantar anak muda itu pulang ke rumahnya.


Setibanya di rumah, ayah pemuda itu berasa hairan. Apa yang berlaku kepada anaknya? Bukankah sebentar tadi anaknya itu mahu ke masjid? Mengapa pula dia pengsan, lalu dihantar pulang? Malah, turut serta seorang perempuan. Lalu, si ayah mengubati anaknya ini. Sebaik sedar, si ayah bertanya, "Wahai anakku, ceritakan apa yang berlaku padamu?"

Dengan wajah yang pucat dan nafas yang berombak-ombak, si anak tadi bercerita segalanya dari awal sehinggalah dia jatuh pengsan.

"Ayat apakah yang dikau teringat ketika itu wahai anakku?"
soal si ayah.


Sebaik pemuda tadi mahu melafazkan semula ayat 201, surah Al-A'raf yang berdetik di dalam hatinya itu, hatinya kembali berdebar-debardan tubuhnya bergetar kerana ketakutan yang amat dahsyat kepada ALLAH SWT. Belum sempat dia menghabiskan bacaan ayat itu, dia jatuh pengsan sekali lagi. Kali ini, apabila diperiksa si ayah, rupa-rupanya anaknya itu sudah tiada lagi. Dia telah pergi menghadap Ilahi.


Kematian pemuda beriman itu menjadi buah mulut orang ramai sehinggalah sampai ke pengetahuan khalifah ketika itu. Lalu, Sayidina Umar berangkat menuju ke rumah pemuda tadi dan bertanya kepada si ayah, apa yang telah berlaku. Ayah kepada pemuda itu menceritakan segalanya kepada Sayidina Umar.

"Anak mudamu ini meninggal dunia kerana teringatkan ayat Ilahi pada saat imannya diuji?" soal Sayidina Umar.


Si ayah mengangguk. Kemudian, Sayidina Umar mengajak ayah pemuda itu serta orang ramai yang berada di situ untuk ke kubur pemuda beriman tadi. Sayidina Umar menghampiri kubur itu dan meletakkan tangannya ke tanah lalu berkata,

"Wahai pemuda, sesungguhnya di dalam al-Quran ALLAH SWT telah berfirman, 'Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga (Ar-Rahman, 46). Sekarang katakan padaku, adakah engkau sedang menikmatinya?"


Lalu tiba-tiba keluar suatu suara dari kubur anak muda itu. Dia menyahut,

"Benar, dan sekarang aku sedang menikmati dua syurga itu."


Duhai dirimu, telah nyatalah kepada kita daripada kisah ini bahawa betapa tingginya darjat manusia yang teguh cintanya kepada Ilahi. Biarpun digoda si gadis perawan, hatinya masih setia pada tuhan. Malah pada saat hampir terjerumus ke lembah binasa, hatinya yang bertakwa yang menyala-nyala cinta tuhannya, mengingatkan dirinya tentang dosa. Lalu, jiwa yang kenal pada ALLAH SWT itu, tersungkur pengsan, malah mati kerana takutkan ALLAH SWT. Lantas, bagaimana pula dengan hatiku dan hatimu? Setiap kali kita diuji, setiap kali kita melakukan kesalahan, berapa kali kita teringatkan tuhan? Adakah ia membawa gementar di dalam hati sehingga pengsan? Atau sekadar lintasan hati yang dikau tidak perasan? Tanyakan pada hatimu, adakah hatimu berada pada tahap hati pemuda tadi yang mana hatinya tersemat nama Rabbi? Bagaiman pula denganmu, siapa DIA di hatimu?



AbdiNya : Roshidaya Abdul Rahim

No comments:

Post a Comment