so cute


Friday, 5 April 2013

Bahasa cinta si pemilik cinta

Menurut karangan tuan guru, Syeikh Ibrahim bin Muhammad, "Hanya pencinta yang memahami bahasa cinta!"

Memang benar, kerana cinta Laila, Majnun dianggap gila. Namun Majnun tidak kecewa kerana hanya dia sahaja yang mengerti bahasa cintanya. Mana mungkin dikau cintakan kepanasan tanpa dikau mengenali api? Mana mungkin dikau cintakan kegelapan tanpa dikau kenali malam? Mana mungkin dikau cintakan cahaya tanpa dikau kenali matahari?


Begitu juga cinta ALLAH SWT. Mana mungkin dikau cintakan ketenangan tanpa mengenali pemberian ketenangan itu. Mana mungkin dikau cintakan rezeki tanpa mengenali pemberi rezeki itu. Lihatlah, pandanglah segala yang dikau rasakan indah. Semuanya daripada tuhanmu. Andai dikau cintakan kesemuanya, lalu dikau langsung tidak mengenali siapa yang empunya kesemuanya, bukankah engkau layak digelar biadap?


Analogi, dikau cintakan seorang gadis perawan. Lalu dikau pikat hatinya. Dikau tawan jiwanya. Dan dikau mencintainya sepenuh hatimu. Tiap hari dikau labuhkan dan sembahkan cintamu yang padu untuknya. Padahal dalam masa yang sama, dikau tidak mengenali langsung dan tidak pernah peduli siapa ibu bapanya. Adakah wajar begitu? Jika tiada ibu bapanya, mana mungkin lahir wanita itu. Jadi, bukankah tindakanmu itu layak digelar tindakan yang biadap? Itu baru manusia, bagaimana pula dengan ALLAH SWT? Semuanya yang dikau lihat, fikir, dengar, sentuh, rasa, semuanya daripada-Nya. Dikau damba semuanya, dikau persembahkan cinta padu seluruh jiwa. Namun, hatimu langsung tidak mempedulikan pencipta bagi semuanya itu. Lantas bagaimana cintamu itu? Ke mana kesudahan cintamu itu? Ibarat pemuda yang mencintai gadis tadi, hubungan mereka terlarang, cinta mereka akan terlerai jua tanpa restu ayah dan ibu. Begitulah jua cintamu pada dunia. Andai dikau tidak peduli dan mengenali siapa tuhannya, cintamu itu cinta terlarang. Kelak, ia akan terlerai jua walau di hadapanmu semuanya terbentang.


Mengapa mengejar cahaya tanpa mengejar mencari mentari? Wajarkah manusia mengeluh kegelapan di dalam gua pada siang hari? Mengapa dia tidak keluar, merasakan cahaya kiriman mentari. Tidak guna berpeluk tubuh mendambakan cinta pada cahaya, jika diam pada destinasi gelap. Keluarlah mencari mentari. Tidak guna berdiam, mengeluh mahukan cinta tuhan, tanpa dikau mentaati suruhan. Kerahkan segenap kemampuanmu untuk memelihara yang difardukan. Tundukkan hatimu untuk meraih cinta sejati daripada Rabbi. Adakah sudah berputik cahaya cinta ALLAH SWT di dalam hatimu itu? Atau pada saat ini, dikau masih keliru, siapa DIA di hatimu?



AbdiNya : Roshidaya Abdul Rahim

Beliau mati kerana takutkan ALLAH...

Pada suatu masa dahulu, tinggal seorang pemuda di zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khatab. Pemuda ini merupakan seorang yang tinggi cinta dan takwanya kepada ALLAH SWT. Beliau berzuhud pada kehidupan dunia yang maya kerana mencari cinta sebenar yakni cinta daripada Tuhan Yang Maha Pencipta. Hatinya dikalungkan pada rumah ALLAH SWT.Tiap masa dan ketika, jiwanya meronta-ronta untuk pergi beriktikaf dan berjemaah di rumah ALLAH SWT.


Setiap hari, pemuda ini akan melalui beberapa buah rumah dalam perjalanannya ke masjid. Salah sebuah rumah itu adalah rumah yang didiami oleh seorang gadis perawan. Siapa sangka, gadis ini jatuh hati kepada lelaki budiman itu tadi. Setiap hari apabila lelaki ini melintasi halaman rumah gadis itu untuk ke masjid, gadis tersebut pasti akan mengintai pemuda yang menjadi idaman hatinya dari balik tirai jendela.


Suatu hari, tiada siapa di rumah gadis tersebut. Kebetulan pemuda ini melintasi rumah gadis itu untuk ke masjid seperti hari-hari lainnya. Pada kesempetan ini, gadis perawan itu mengambil peluang untuk menggoda pemuda budiman ini. Sebaik sahaja pemuda ini melintasi rumah gadis itu, dia terlihat gadis perawan itu mengenakan pakaian cantik-cantik dan memanggil pemuda itu masuk ke dalam rumahnya. Gadis tadi menggoda pemuda itu sepenuh dayanya agar pemuda itu tertewas dan masuk bersama ke dalam rumahnya. Lalu, pemuda tadi terikut masuk atas godaan gadis perawan itu.


Semasa berada di pintu rumah gadis itu, sewaktu kakinya melangkah untuk langkahan seterusnya menuju ke arah gadis perawan itu, tiba-tibanya akalnya teringat sesuatu. Hatinya membisik sesuatu. Beliau teringat akan sepotong firman ALLAH SWT...

"Sesungguhnya apabila orang-orang yang bertakwa ditimpa waswas daripada syaitan, mereka ingat kepada ALLAH SWT, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya..."
(Al-A'raf, 201)


Lalu, pada ketika itu juga tubuhnya terketar-ketar, wajahnya bertukar pucat dan timbul ketakutan yang amat dahsyat. Sejurus itu, pemuda tadi tersungkur pengsandi rumah gadis itu. Gadis tadi yang dalam kebingungan terus memanggil orang ramai, lalu menghantar anak muda itu pulang ke rumahnya.


Setibanya di rumah, ayah pemuda itu berasa hairan. Apa yang berlaku kepada anaknya? Bukankah sebentar tadi anaknya itu mahu ke masjid? Mengapa pula dia pengsan, lalu dihantar pulang? Malah, turut serta seorang perempuan. Lalu, si ayah mengubati anaknya ini. Sebaik sedar, si ayah bertanya, "Wahai anakku, ceritakan apa yang berlaku padamu?"

Dengan wajah yang pucat dan nafas yang berombak-ombak, si anak tadi bercerita segalanya dari awal sehinggalah dia jatuh pengsan.

"Ayat apakah yang dikau teringat ketika itu wahai anakku?"
soal si ayah.


Sebaik pemuda tadi mahu melafazkan semula ayat 201, surah Al-A'raf yang berdetik di dalam hatinya itu, hatinya kembali berdebar-debardan tubuhnya bergetar kerana ketakutan yang amat dahsyat kepada ALLAH SWT. Belum sempat dia menghabiskan bacaan ayat itu, dia jatuh pengsan sekali lagi. Kali ini, apabila diperiksa si ayah, rupa-rupanya anaknya itu sudah tiada lagi. Dia telah pergi menghadap Ilahi.


Kematian pemuda beriman itu menjadi buah mulut orang ramai sehinggalah sampai ke pengetahuan khalifah ketika itu. Lalu, Sayidina Umar berangkat menuju ke rumah pemuda tadi dan bertanya kepada si ayah, apa yang telah berlaku. Ayah kepada pemuda itu menceritakan segalanya kepada Sayidina Umar.

"Anak mudamu ini meninggal dunia kerana teringatkan ayat Ilahi pada saat imannya diuji?" soal Sayidina Umar.


Si ayah mengangguk. Kemudian, Sayidina Umar mengajak ayah pemuda itu serta orang ramai yang berada di situ untuk ke kubur pemuda beriman tadi. Sayidina Umar menghampiri kubur itu dan meletakkan tangannya ke tanah lalu berkata,

"Wahai pemuda, sesungguhnya di dalam al-Quran ALLAH SWT telah berfirman, 'Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga (Ar-Rahman, 46). Sekarang katakan padaku, adakah engkau sedang menikmatinya?"


Lalu tiba-tiba keluar suatu suara dari kubur anak muda itu. Dia menyahut,

"Benar, dan sekarang aku sedang menikmati dua syurga itu."


Duhai dirimu, telah nyatalah kepada kita daripada kisah ini bahawa betapa tingginya darjat manusia yang teguh cintanya kepada Ilahi. Biarpun digoda si gadis perawan, hatinya masih setia pada tuhan. Malah pada saat hampir terjerumus ke lembah binasa, hatinya yang bertakwa yang menyala-nyala cinta tuhannya, mengingatkan dirinya tentang dosa. Lalu, jiwa yang kenal pada ALLAH SWT itu, tersungkur pengsan, malah mati kerana takutkan ALLAH SWT. Lantas, bagaimana pula dengan hatiku dan hatimu? Setiap kali kita diuji, setiap kali kita melakukan kesalahan, berapa kali kita teringatkan tuhan? Adakah ia membawa gementar di dalam hati sehingga pengsan? Atau sekadar lintasan hati yang dikau tidak perasan? Tanyakan pada hatimu, adakah hatimu berada pada tahap hati pemuda tadi yang mana hatinya tersemat nama Rabbi? Bagaiman pula denganmu, siapa DIA di hatimu?



AbdiNya : Roshidaya Abdul Rahim

Thursday, 4 April 2013

Siapa ALLAH? Ini cerita bapa kita...

Sahabatku, telah daku sampaikan untukmu sebentar tadi, bagaimana cerita Musa tentang Ilahi. Andai berhadapan dengan keangkuhan si manusia raja, begitulah kalamnya untuk diberitakan siapa yang lebih berkuasa. Namun, bagaimana pula apabila diri berhadapan dengan kaum keluarga yang utuh dan erat kasihnya? Siapakah ALLAH SWT untuk kita beritakan pada mereka? Sekarang, mari daku bawakan pula kalam selanjutnya. Kali ini biar bapa kita, Ibrahim AS yang bercerita pula. Apabila ayah baginda sendiri serta kaumnya menyembah berhala, lalu mempertikai siapakah ALLAH yang disembah olehnya, ini cerita bapa...

"Sesungguhnya apa yang kamu sembah itu adalah musuhku, kecuali Tuhan Semesta Alam (iaitu Tuhan) yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjuki aku. Tuhanku yang memberi makanan dan minuman kepadaku. Apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku, yang mematikan aku dan kemudian akan menghidupkan aku. Aku amat berharap agar Dia mengampuni kesalahanku pada hari kiamat."
(As-Syu'ara: 77-83)

Demikianlah kasih sayang ALLAH SWT terhadap para hamba-Nya. Saksikan apa yang diceritakan oleh bapa. Ketika kita lenyap, ALLAH SWT menciptakan kita. Malah pada saat malaikat meragui kebolehan kita sebagai khalifah, ALLAH SWT yang pertama sekali membela kita. Ketika dikau lapar dan dahaga, ALLAH SWT jua yang memberimu hidangan serta minuman yang baik-baik. Ketika dikau terbaring lemah menanggung sakit yang perit, ALLAH SWT yang memberi penawar kepadamu lalu menyembuhkan dirimu daripada sakit. ALLAH SWT yang menghidupkan dirimu daripada tiada kepada ada. Pada hari kiamat, ALLAH SWT sahajalah yang berhak untuk mengampuni sekalian dosa para hamba-Nya. Sekarang daku ingin bertanya pula, siapa DIA di hatimu?

Setelah ALLAH SWT menghidupkan dirimu, dikau lahir ke dunia, namun angkuh pada-Nya. Pada saat dikau diuji dengan musibah dan bala bencana, lidahmu keras lantang mengherdik dan menghina. Walhal pada masa yang sama, ALLAH SWT mengirimkan ujian itu untuk menghapuskan segenap dosa kesalahan yang dikau lakukan. Adilkah begitu?

Malam ini dikau berbuat dosa. Dikau tidur lena tanpa Isyak. Dikau hanyut terus sehingga Subuh pergi, mentari tertegak. Sebaik dikau membuka mata, dikau melangkah, hidangan tersedia di atas meja. Dikau fikir siapa yang memberikan rezeki itu? Bukankah ia datang daripada tuhanmu? Dikau masih diberi rezeki walaupun baru sahaja melakukan dosa kepada-Nya pada malam hari. Subhanallah... Hebatnya kasih sayang daripada tuhanmu. Sekarang, di mana ruang dalam hatimu, yang kau palu kalimah tuhan agar ia senantiasa menemanimu? Di manakah letaknya cinta tuhan dalam hatimu itu? Adakah pada dasar hati yang paling dalam, atau pada penghujung hati yang makin suram? Lalu daku bertanya, setelah begitu besar kasih sayang yang ALLAH SWT curahkan, sekarang nyatakan kepadaku, siapa DIA di hatimu?



AbdiNya : Roshidaya Abdul Rahim

Siapa ALLAH? Ini cerita Musa...

Sahabat, sudah puas para asatizah menjalankan tugas. Sudah jauh mereka kembara, membawa misi Tuhan Yang Maha Esa. Telah ramai yang bercerita siapa tuhan kita. Namun, hatimu masih dalam curiga dan masih belum berkerdip sinar takwa. Mengapa? Lalu, kali ini biarkan Musa pula yang bercerita. Ketika ditanya oleh Firaun siapakah tuhannya, ini cerita Musa...

Firaun bertanya: "Siapa Tuhan semesta alam itu?"

Musa menjawab: "Tuhan Pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang di antara kedua-duanya (itulah Tuhanmu), jika kamu sekalian mempercayai-Nya."

Berkata Firaun kepada orang-orang di sekelilingnya: "Apakah kamu tidak mendengarkan?"

Musa berkata (pula): "Tuhan kamu dan tuhan nenek moyang kamu yang dahulu."

Firaun berkata: "Sesungguhnya Rasulmu yang diutus kepada kamu sekalian benar-benar orang gila!"

Musa berkata: "Tuhan yang menguasai timur dan barat dan apa yang ada di antara kedua-duanya: (itulah Tuhanmu) jika kamu menggunakan akal."
(As-Syu'ara: 23-28)

Inilah kata-kata nabi ALLAH yang mulia, yang mampu berbicara dengan-Nya dalam keadaan jaga. Musa AS, kekasih ALLAH SWT, manusia pilihan, telah bercerita tentang tuhan. Lalu, dirakam ALLAH SWT ke dalam al-Quran untuk kita jadikan pedoman. Saksikan! Apa yang diceritakan oleh Nabi Musa AS ini. ALLAH itu adalah tuhan pencipta langit dan bumi serta segala apa yang ada di dalamnya. ALLAH SWT adalah tuhan yang disembah sejak permulaan semesta sehinggalah selama-lamanya. ALLAH SWT tetap raja, tetap Esa, tiada dua dan tiada tiga. ALLAH SWT merejai segenap penjuru timur dan barat serta apa yang wujud di antaranya. Demikian agar jelas untukmu, Nabi ALLAH Musa bercerita mengenai kekuasaan dan keagungan kerajaan ALLAH SWT agar Firaun mengerti bahawa kerajaan Mesir yang diperintahnya adalah teramat kecil jika dibandingkan dengan kerajaan ALLAH SWT. Malah, Mesir dan Firaun itu sendiri serta segenap Firaun yang lahir sebelumnya jua adalah makhluk ALLAH SWT. Demikianlah hebat dan kuatnya kerajaan ALLAH SWT. Ia sesuai diberitakan kepada manusia yang angkuh yakni yang merasakan jiwa dan dunianya sudah cukup besar, tiada siapa perlu dia bergantung harap, dia raja sebuah negara kuat, dia pemilik gedung yang hebat dan dia jutawan segala syarikat. Lalu, khabarkan cerita Musa ini untuknya, agar dia tahu bahawa semua itu milik ALLAH SWT. Bagaimana pula dengan dirimu, setelah membaca firman tuhanmu itu? Siapa DIA di hatimu?



AbdiNya : Roshidaya Abdul Rahim

Tuesday, 2 April 2013

Lagenda Cinta Teragung

Teman...

Bersyukurlah kepada ALLAH SWT kerana pada hari ini kita sekali lagi diberi nafas untuk bernyawa, diberi mata untuk melihat, diberi daya untuk upaya, diberi minda untuk berfikir, diberi islam untuk dihayati, diberi iman untuk ditambah, diberi takwa untuk dicari... Semuanya diberi, dan semuanya PERCUMA. Itulah ALLAH Yang Maha Pemurah, yang amat menyintai diri ini. Tanyakan pada dirimu, sudahkah cinta-NYA berbalas? Sahabatku, ALLAH SWT sentiasa menghembuskan kasih dan cinta-NYA terhadapmu. Setiap apa saja perlakuanmu, dikau diingatkan agar mengiringinya dengan aura cinta ALLAH SWT. Apakah aura cinta ALLAH itu?
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... "Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..."


Itulah kasih sayang ALLAH yang sering dikau lupakan. Teman, pernah dikau berbicara tentang cinta yang cukup agung? Sekarang akanku persembahkan padamu sebuah 'Lagenda Cinta Teragung'. Kasih daripada ALLAH, tuhan yang Maha Esa, yang tiada awal tiada berpenghujung. Hebatnya kasih ALLAH SWT hingga sanggup membelamu di hadapan malaikat sewaktu malaikat mempersoalkan kewibawaan manusia mentadbir dunia dahulu. Tahukah dikau, ALLAH SWT meghalau iblis dari syurga kerana iblis menghina manusia?


Sewaktu dikau dilahirkan ke dunia, ayahmu mengazankan di telinga. Apakah perkataan pertama yang dikau dengar? ALLAH... Lafzul jalalah inilah yang menjadi saksi hebat cinta kasih-NYA. Dikau pun membesar sedikit demi sedikit. Dirimu hanya menangis kerana lapar, tidak mahu meminta, ALLAH SWT gerakkan hati ibu untuk memberimu makan. Dikau belajar beejalan, dan jatuh, kakimu begitu lemah. Lalu, ALLAH SWT arahkan kakimuagar mampu melangkah.

Pada usia kecilmu, ALLAH SWT menghiburkan dirimu dengan hadiah-hadiah pemberian manusia. Sesiapa sahaja melihatmu, pasti berasa kasih. Dikau pun bebas bermain. Dikau luka, ALLAH lah yang pertama ubatkan. Kulitmu tercalar teruk, ALLAH SWT yang membalutkannya dengan kupin-kupin ubat yang sering dikau hina. ALLAH SWT hanya senyum padamu, lantas menghadiahkan untukmu kulit yang baru. Apabila sakit itu masih terasa, ALLAH SWT tidak pernah berhenti daripada memberi pandangan mesra penuh kasih sayang kepadamu, sedang dikau memaki hamun sakitmu itu.

 Pada saat yang sama, ALLAH SWT mengarahkan malaikat memadam dosa-dosamu.

Apabila malam dikau bermimpi yang bukan-bukan, ALLAH SWT memujukmu. Kata-NYA itu hanyalah mainan syaitan. Dikau pun terus tidur lena di pangkuan-NYA. Padahal masa itu ALLAH SWT sedang menunggu kalau-kalau dikau ingin memohon ampun. Namun, dikau terus lena. Paginya pula, ALLAH SWT kejutkan dikau Subuh, mengapa? Kerana mahu memberikan dikau pahala, pahala Subuh yang besar ganjarannya. Dikau pula menekup telinga dengan bantal, lena semula. .ALLAH SWT masih kejutkan dirimu, mengapa? Kerana ALLAH SWT sayang kepadamu. ALLAH SWT tidak mahu dikau lewat ke tempat kerja, nanti dimarahi, lalu dikau pun terjaga. Pernah terfikir, bagaimana dengan orang yang buta? Lalu, dikau bangun dari tempat tidur. Pernah berfikir, bagaimana orang yang kudung kakinya? Selepas mandi, dikau menikmati sarapan. Bagaimana dengan orang miskin yang langsung tiada makanan?

Subhanallah...


ALLAH SWT memberikan semua itu kepadamu. Tanyakan hatimu, apa pula yang dikau beri kepada ALLAH SWT sebagai tanda bersyukur dengan segala anugerah-NYA? ALLAH SWT menyuruh dikau bersolat, dikau katakan awal lagi. ALLAH SWT menyuruhmu berpuasa, dikau katakan nanti-nanti. ALLAH SWT menyuruhmu membayar zakat, dikau katakan belum gaji. ALLAH SWT menyuruhmu pergi menunaikan haji, dikau katakan dirimu masih muda lagi. ALLAH SWT menyuruhmu bertaubat, dikau katakan masih lambat untuk mati. Namun ALLAH SWT masih memberi peluang untukmu. DIA tidak terus menghukum dirimu. DIA masih setia denganmu walau ke mana pun dikau pergi. Ya, ALLAH SWT di dalam al-Quran :


               "...AKU bersama kamu walau di mana jua kamu berada..."
     (al-Hadid, 4)


Dikau gembira, ALLAH SWT yang menghiburkanmu.

Dikau bersedih, ALLAH SWT yang menemanimu.
Dikau dilanda masalah, ALLAH SWT yang menyelesaikannya.
Dikau mempunyai cita-cita, ALLAH SWT yang mengkabulkannya.

ALLAH SWT berpesan kepada nabi :

               "...kalau hamba-hamba-KU bertanya kepadamu tentang-KU, katakan AKU ini dekat..."
     (al-Baqarah,186)


Tetapi, pernah dikau bertanya tentang-NYA? Namun, ALLAH SWT tetap duduk dekat denganmu. Mengapa? Kerana ALLAH SWT menjaga dirimu dan memberimu makan. Cinta-NYA tidak terhenti di situ sahaja. DIA berpesan pula,


    "...Pohonlah kepada-KU, nescaya AKU kabulkan..."
      (al-Mukmin, 60)


Namun selepas memperoleh apa yang dikau pinta, apa yang dikau lakukan? Tahukah dikau bahawa setiap kali dikau bersolat, ALLAH SWT merenungmu, lalu memberitahu dengan bangga kepada para malaikat,

"Lihatlah hamba-KU sedang menyembah-KU. AKU cinta dan sayang kepadanya dan AKU ampunkan dosanya." Sedangkan solatmu itu pun kerana terpaksa. Semasa sujud, dikau pejamkan mata, tetapi tahukah dikau pada saat itulah ALLAH SWT menumpukan pandangan-NYA kepadamu dengan penuh rasa cinta? Dikau tidak pernah peduli semua kasih sayang daripada-NYA, walaupun DIA sudah berjanji,

   "...andai kamu bersyukur, AKU akan tanbahkan lagi..."
      (Ibrahim, 7)


Tetapi dikau tidak juga bersyukur. Namun, oleh kerana kasih-NYA yang mendalam, DIA tetap menambahkan kurniaan-NYA buatmu. DIA hanya memberikan satu dosa andai dikau berbuat jahat. Sebaliknya, andai dikau baru sahaja berniat untuk berbuat baik, DIA sudah memberimu satu pahala. Lalu, andai dikau melaksanakan kebaikan itu, akan ditambahkan lagi untukmu 700 pahala.


Alhamdulillah...

DIA berikan dikau kehidupan. Diberi-NYA lagi cahaya, angin, udara, makanan, pakaian, pasangan dan keluarga. Semuanya adalah percuma. ALLAH SWT sekadar menyuruhmu bertaubat sahaja. Tetapi dikau masih angkuh. Sehinggalah saat menjelang kematian, selagi nyawa belum sampai di kerongkong, DIA masih lagi bersedia untuk mengampunkan dosamu, walaupun sepanjang hidupmu berbuat dosa. Mengapa? Kerana DIA tidak mahu dikau merasakan kesakitan dalam neraka. DIA mahukan dikau bahagia di syurga.
ALLAHU AKBAR!


        "Ya ALLAH...Begitu agungnya cinta daripada-MU."



Temanku. Demikianlah hakikat cinta agung daripada pencinta terulung. ALLAH SWT, tuhan yang merajai langit dan bumi serta segenap semesta. DIA-lah yang mengasihimu meski dikau langsung tidak pernah menghargai-NYA. Andai demikian hebat dan agungnya cinta daripada-NYA, apakah tiada ruang dalam hatimu untuk dikau semadikan cinta daripada-NYA itu? Jujur... Tanyakan pada hatimu, siapa DIA di hatimu?




AbdiNya : Roshidaya Abdul Rahim