Gambar Hiasan
Suatu hari seorang lelaki yang berwajah hodoh dan berkulit hitam bertanyakan satu masalah kepada Rasulullah SAW. Lelaki bernama Saad bin Asulami kecewa kerana wajah yang hodoh dan berkulit hitam menyebabkan tidak ada perempuan yang sudi berkahwin dengannya.
"Ya Rasulullah, adakah seseorang yang berwajah hodoh dan berkulit hitam tidak layak untuk menghuni syurga?" Tanya Saad sebaik sahaja menemui Rasulullah SAW.
"Selagi kamu yakin dengan Tuhanmu dan mematuhi segala ajaran-Nya, kamu masih berpeluang untuk menjadi penghuni syurga," jawab Rasulullah SAW sambil memerhatikan wajah lelaki yang hodoh dan berkulit hitam di hadapannya.
"Ya Rasulullah, saya telah beriman kepada Allah sejak lapan bulan lalu dan saya datang ke sini ingin meminang seorang perempuan untuk dijadikan isteri tetapi semuanya menolak dengan alasan wajah saya hodoh dan kulit saya hitam," kata Saad yang kecewa dengan nasib dirinya.
"Adakah kamu daripada keluarga yang baik-baik, Saad?"
"Ya. Sebenarnya saya daripada keturunan suku Bani Sulaim. Wajah saya hodoh kerana keturunan ibu saya," kata Saad.
Rasulullah SAW kemudian berpaling kepada semua yang hadir pada majlis itu seolah-olah mencari seseorang sambil bertanya, "Adakah Amru Bin Wahab daripada suku kaum Tsaqief ada di sini?"
Orang ramai yang ada di majlis itu berpandangan sesama sendiri sambil mencari wajah nama yang disebutkan. Setelah beberapa ketika seorang daripada mereka memberitahu Amru bin Wahab tidak ada di situ.
"Saad, adakah kamu tahu di mana rumah Amru bin Wahab?" Rasulullah SAW bertanya.
"Ya, saya tahu di mana rumah Amru, ya Rasulullah."
"Sekarang kamu pergi ke rumahnya. Ketuk pintu rumah perlahan-lahan dan berilah salam. Apabila Amru menjawab salam, masuklah jika Amru mengizinkan. Jika ditanya apakah hajat kamu, katakan kepadanya, Rasulullah mengahwinkan aku dengan puterinya," Rasulullah SAW menjelaskan.
Saat itu Saad terbayang puteri Amru yang cantik dan bijak bernama Atiqah. Sampai di rumah Amru, dia disambut dengan baik. Bagaimanapun Saad dpat merasakan kedatangannya itu seolah-olah terpaksa memandangkan wajahnya yang hodoh.
Setelah ditanya apakah hajatnya datang ke rumah Amru, Saad segera menjawab, "Rasulullah yang meminta aku supaya datang ke sini dan menyampaikan khabar supaya mengahwinkan aku dengan puterimu bernama Atiqah."
Amru terkejut apabila Saad menjelaskan hajat kedatangannya lalu berkata, "Wajah kamu yang hodoh dan kulit kamu yang hitam ini berhajat hendak berkahwin dengan puteriku? Kamu fikir puteriku itu sudi menerima kamu sebagai suaminya?"
Saad tersentak mendengar jawapan Amru. Kata-kata Amru mengguris perasaannya dan dengan hati yang kecewa, Saad pulang semula bertemu Rasulullah SAW dan menyampaikan penerimaan Amru terhadap permintaannya. Sebaik sahaja Saad beredar, Atiqah yang mendengar perbualan tadi segera berjumpa Amru.
"Wahai ayah, sedarlah segera sebelum turunnya wahyu yang akan mengaibkan ayah. Jika benar Rasulullah mahu saya berkahwin dengan Saad, saya akan menerimanya dengan hati terbuka dan rela dengan ketentuan yang diaturkan oleh Allah dan Rasul-Nya untukku," ujar Atiqah sambil memandang wajahnya yang rasa bersalah menolak permintaan Saad tadi.
Di atas nasihat Atiqah, Amru segera menyusul menemui Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada di satu majlis. Sebaik sahaja sampai di situ, dia segera ditegur oleh seseorang, "Jadi kamulah yang menolak pinangan Rasulullah?"
"Benar, tetapi saya sudah meminta ampun kepada Allah kerana menyangka Saad tidak berkata benar. Setelah saya dapati dia ikhlas, saya sedia menerima dia menjadi menantuku. Saya bimbang Allah dan Rasul-Nya akan menjadi murka akibat perbuatanku ini," jelas Amru mengakui kesilapannya.
Setelah Amru mengakui kesilapannya, Saad dikahwinkan dengan Atiqah bermaskahwinkan sebanyak 400 dirham tetaapi Saad pula yang menghadapi masalah dan dia menghadap Rasulullah SAW sekali lagi.
"Ya Rasulullah, sesungguhnya saya tidak ada wang untuk membayar mahar dan saya terpaksa meminjam daripada saudara mara saya. Saya tidak pasti sama ada akan memperolehinya atau tidak," beritahu Saad mengenai masalahnya.
"Jangan bimbang. Mas kahwin untuk isteri kamu akan ditanggung oleh tiga orang mukminin. Pergilah berjumpa Usman Bin Affan, Abdul Rahman Bin Auf dan Ali bin Abi Talib. Setiap orang daripada mereka akan memberikan kamu sebanyak 200 dirham."
Penjelasan Rasulullah SAW itu menggembirakan hati Saad. Dia segera menemui Usman, Abdul Rahman dan Ali bin Abi Talib. Ternyata Saad mendapat lebih daripada yang diberitahu oleh Rasulullah SAW.
Sebaik mendapat wang mas kahwin itu Saad terus pergi ke pasar untuk membeli buah tangan untuk isterinya.
No comments:
Post a Comment