Semasa pemerintah Sayidina Umar RA, Muaz diutuskan untuk memungut cukai di tanah-tanah naungan Islam. Setelah menunaikan amanahnya itu, Muaz menyerahkan hasil cukai yang dikutip kepada perbendaharaan. Lalu, dia pulang ke rumah dengan tangan kosong. Isterinya bertanya, "Mengapa abang pulang dengan tangan kosong? Tiada saguhati yang abang peroleh dari sana?" Lalu Muaz menyatakan kepada isterinya, "Bukan tidak ada yang menawarkan saguhati, malah ramai yang mahu memberiku hadiah dan saguhati. Namun setiap kali daku ingin mengambilnya, daku sedang diperhati. Ke mana saja daku pergi, daku sedang diawasi. Lantas, daku tidak berani mengambil walaupun ianya sekadar saguhati."
Tanpa disedar, perbualan mereka suami isteri itu didengari oleh seseorang. Perbualan tersebut disampaikan kepada khalifah, Sayidina Umar al-Khattab RA. Beliau berasa terkejut mendengar berita itu, lalu memanggil Muaz untuk mengadapnya.
"Muaz, dikau sahabat yang dipercayai oleh Rasulullah SAW. Adakah dikau sangka aku tidak mempercayai dirimu?" Soal Umar RA kepada Muaz.
"Apa maksud kata-katamu ini, wahai Amirul Mukminin?"
Muaz kehairanan dengan pertanyaan Umar RA itu.
"Dikau memberitahu isterimu bahawa sewaktu dikau mengutip cukai, ada yang memerhati dan mengawasimu. Sungguh! Aku sekali-kali tidak pernah menyuruh mana-mana individu untuk menyiasat dan memerhati kerjamu. Aku tahu dikau seorang yang amanah." Jelas khalifah Sayidina Umar al-Khattab RA.
"Sebenarnya, maksudku pada isteriku itu bukanlah aku diperhati oleh mana-mana pegawai yang diutus olehmu. Namun, ke mana sahaja aku pergi, apa sahaja aku lakukan, aku merasakan sedang diawasi dan diperhati oleh ALLAH SWT. Oleh kerana itu, aku menolak sebarang pemberian atau cenderahati manusia. Aku khuatir aku akan berlaku khianat pada amanah." Cerita Muaz kepada Amirul Mukminin Sayidina Umar. Barulah Sayidina Umar RA tahu apa yang dimaksudkan oleh Muaz itu. Lalu, beliau memberi sedikit saguhati kerajaan atas jasa dan pekerjaan Muaz itu.
Demikianlah hebatnya hati para kekasih ALLAH SWT. Hidup mereka dirasakan begitu hampir dengan ALLAH SWT. Diri mereka dirasakan sentiasa diperhati oleh Ilahi. Ibarat kita pada hari ini dengan CCTV. Begitulah para kekasih ALLAH SWT. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka masih teguh integriti. Ini kerana CCTV mereka yang sebenar ada di dalam hati. ALLAH SWT sedang memerhati dan Maha Mengetahui.
AbdiNya : Roshidaya Abdul Rahim
No comments:
Post a Comment