Wahai dirimu! Segala apa yang wujud di bumi ini adalah ciptaan-NYA. Segala apa yang berlaku di semesta ini adalah kerana kudrat-NYA. Takdir daripada-NYA yang menetapkan segalanya. Andai ALLAH SWT katakan jadi, maka ia pasti terjadi. Andai ALLAH SWT katakan tidak, dikau usahalah sekuat manapun, panggillah seluruh jin dan kerajaan sekalipun untuk membantu, pasti ia tidak akan berlaku, andai ALLAH SWT tidak setuju.
Menjelang akhir zaman, manusia berpecah kepada banyak aliran kefahaman. Aliran ini membawa haluan akidah masing-masing yang dikhuatiri boleh membawa ke lembah kesesatan dan kekafiran. Sekelompok manusia digelar Qadariah, yakni mereka yang yakin bahawa tiap apa yang berlaku atas kehendak manusia, ianya datang daripada usaha manusia itu sendiri. Apa jua yang menimpa manusia, ia adalah kerana usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri. ALLAH SWT tidak ada kena-mengena dengan kehidupan insani. ALLAH SWT hanya memberi hukuman dosa atau pahala di atas jalan yang dipilih dan hanya mentadbir langit dan bumi. Sekelompok yang lain pula digelar Jabariah. Ini adalah golongan yang meletakkan setiap sesuatu yang berlaku adalah kerana kuasa ALLAH SWT. Manusia langsung tiada usaha, malah usahanya sedikit pun tidak memberi kesan, tiap apa yang berlaku ke atas diri adalah daripada ALLAH SWT semata-mata. Manusia hanya ibarat boneka yang melakonkan watak-watak ciptaan ALLAH SWT.
Sahabat, ketahuilah! Kedua-dua aliran pemikiran ini adalah salah dan boleh merosakkan akidah kita. Kita dikhuatiri jatuh ke lembah kekafiran kerana pepecahan ini adalah soal iktikad dan bukannya soal ibadat. Kaum Qadariah mempercayai bahawa dia mendapat sesuatu adalah kerana titik peluh sendiri. Apabila ditanya, bagaimana dikau menjadi begitu kaya-raya? Dia bakal menjawab, kerana dirinya sendiri yang gigih berusaha. Sebaliknya kaum Jabariah pula meletakkan semuanya milik ALLAH SWT dan manusia sedikit pun tiada usaha. Apabila ditanya, mengapa dikau gagal dalam peperiksaan? Atau, mengapa dikau menjadi pencuri? Dia bakal menjawab, ini adalah takdir ALLAH SWT, daku tidak boleh berbuat apa-apa.
Apakah wajar kata-kata dan iktikad sebegini daripada golongan itu? Semestinya tidak! Kerana itulah kita harus memelihara akidah kita sebaik mungkin agar sentiasa berada seiring di atas garisan lurus, manhaj Ahlu sunnah wal Jamaah. Yakni mereka yang yakin, "Manusia boleh merancang dan berusaha, namun ALLAH SWT yang menentukan."
Aliran dan bentuk kefahaman ahlul sunnah ini dilihat lebih adil kepada kedua-dua belah pihak dan berpendirian kepada kesederhanaan dalam menafsir ilmu tauhid.
Sahabat, berbalik kepada topik utama kita. Pada bab yang sebelum ini, kita telah renungi segala nikmat dan rahmat daripada ALLAH SWT yang tidak terperi banyaknya kepada kita. Lalu pada awal bab kali ini, sudah daku khabarkan padamu iktikad sebenarnya yang harus ada pada hati. Sekarang dikau sudah ketahui dan meyakini bukan? Tidak cukup dengan itu, mari daku bawakan dikau kepada satu persoalan, agar dengan berfikir soalan ini, dikau akan lebih mengerti betapa besarnya limpah Ilahi, betapa tulusnya cinta Rabbi.
"Andai Tuhan berehat sesaat..."
Demi ALLAH... Tulisanku ini bukan berniat supaya dikau berfikir bukan-bukan. Ia sekadar mahu dikau membuat renungan. Apa akan terjadi seandainya Tuhan berehat sesaat? Bayangkan, putaran planet-planet di angkasa sana. Apakah yang bakal terjadi seandainya tuhan berehat sebentar? Pastinya terpecah belah dan berlanggar sesama mereka. Mentari tidak akan menyala kerana ia menyala bukan kerana dirinya, tetapi kerana kuasa yang Esa. Bulan, bagaimana denganya pula? Adakah masih tergantung di langit, atau jatuh merebah ke dasar semesta? Cuba dikau renungkan pula gumpalan-gumpalan awan di langit biru. Siapa yang menahan semuanya daripada jatuh menimpa kita? Andai tuhan berehat sesaat, semuanya akan jatuh menimpa kepala. Setelah bulan dan mentari tidak berfungsi, kejadian siang dan malam turut akan bercalaru. Pasang surut air pula bagaimana? Bukankah tuhan yang menahan air daripada melimpah ke darat menelan kita? Andai tuhan tiada sebentar, apakah yang bakal terjadi kepada kita?
Burung-burung yang sedang terbang di langit, gunung-ganang yang sedang teguh berdiri. Segalanya akan tersungkur menyembah bumi. Bagaimana air yang mengalir dari hulu ke hilir? Berhenti atau terus mengalir? Bagaimana pula dengan kita sendiri? Perlu difahami, ALLAH SWT yang memegang diri ini. Seandainya DIA berehat sebentar, kita bakal mati! Bayangkan, andai kita sedang memandu kereta di jalan raya, tiba-tiba semuanya mati. Bukankah semua akan terhenti begitu sahaja? Tidak... Sesetengah ahli sains yang berbangga dengan ilmu mereka berkata, masih wujudnya daya inertia, iaitu andai suatu benda itu terhenti, ia tidak mungkin berhenti mati. Sebaliknya ada daya yang membawanya ke tepi atau meluncur lagi sebelum benar-benar terhenti. Namun, harus diingat! Apa yang kita sedang bayangkan ini, siapa yang sedang berehat? Tuhan bukan? Yang menguasai segalanya. Jadi, andai demikian, bukan sahaja manusia mati, kereta terhenti, malah tidak wujud inertia sama sekali. Bahkan, tidak berfungsi juga tarikan graviti. Lalu bagaimana? Apa yang terjadi? Mustahil dapat difikirkan selengkapnya.
Tidak... Kononnya masih ada ulama yang angkuh. Mereka berkata kononnya, manusia-manusia itu mati, Izrailyang mencabut nyawa kesemuanya. Perlu difahami sekali lagi, jika tuhan sedang berehat, Izrail juga tiada daya, tiada kuasa, malah tiada wujudnya! Lalu, bagaimana nyawa manusia boleh dicabut? Bagaimana mereka mati? ALLAH... ALLAH...!!!
Rumitnya persoalan ini!
Temanku, kerana itu kita harus fahami dan renungi betapa luasnya anugerah ALLAH SWT kepada kita. Sehinggakan andai DIA tiada sesaat, kita sudah tidak mampu membayangkan apa yang bakal terjadi, bagaimana kita boleh menghadapinya? Betapa tinggi cinta ALLAH SWT itu, tiada bandingnya. Andai dua kekasih bercinta, apabila si kekasih meninggalkannya hanya untuk sehari dua, maka tiada apa akan berlaku padanya. Dia tidak terjejas walaupun sedikit, malah tidak sedikit pun tercedera. Cuma mungkin, sekadar hati yang meronta rindu palsu pada si dia. Namun, andai ALLAH SWT yang meninggalkan kita walau seketika, apa akan terjadi pada kita? Apa akan berlaku? Bukan sahaja tercedera, terluka, malah kita mungkin tiada, dan segalanya mungkin huru-hara. Atau, bagaimana wujud huru-hara, kerana huru-hara juga datang daripada kuasa-NYA. Jadi apa yang tinggal sisa? Tiada apa! Lenyap tanpa bicara! Sepi tanpa suara! Tidak mampu dibayangkan oleh akal manusia. Kerana itu cinta ALLAH SWT begitu berharga, kerana itu kita tidak boleh kehilangan ALLAH SWT walau seketika. ALLAH SWT Yang Maha Mengasihi kita, dari awal sudah berkata...
"...Tuhanmu sekali-kali tidak meninggalkan kamu dan tidak (pula) benci kepadamu..."
Ya ALLAH! Hebatnya cinta daripadamu! Demikianlah wahai sahabat... Daku tidak berniat jahat. Persoalan yang daku ajukan tadi, bukan berniat menghina Ilahi, namun sekadar mahu dikau renungi, betapa kita perlukan Rabbi. Kerana itu, ALLAH SWT tidak pernah berehat, kerana itu ALLAH SWT memberi nasihat melalui ilham kepada Lukman yang bijaksana supaya berkata...
"Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya ALLAH SWT akan mendatangkannya. Sesungguhnya ALLAH Maha teliti lagi Maha Mengetahui..."
Saksikan, ALLAH SWT melihat segala-galanya. Biar sebesar biji sawi yang tersembunyi di balik batu besar, ALLAH SWT tetap mendapat khabar. DIA tidak pernah lena atau leka, tidak pernah berehat walaupun seketika. DIA juga tidak berpaling daripada hamba-NYA. Lalu, Siapa DIA di hatimu?
"Kepunyaan-NYA adalah kerajaan langit dan bumi, DIA menghidupkan dan mematikan, dan DIA Maha Kuasa atas segala sesuatu. DIA-lah yang awal dan yang akhir, yang zahir dan yang batin. Dan DIA Maha Mengetahui segala sesuatu. DIA-lah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa. Kemudian DIA bersemayam di atas 'Arsy., DIA mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada-NYA. Dan DIA bersama kamu di mana saja kamu berada. ALLAH Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."
(Al-Hadid, 2-4)
AbdiNya: Roshidaya Abdul Rahim