Perhatikan kewujudan dirimu! Itu tanda Tuhan mengasihimu. Apa erti dikau diciptakan, andai DIA tidak mengasihimu? Oleh kerana itu, dikau perlu tahu betapa kasihnya ALLAH SWT kepadamu. Katakan, apa yang dikau pinta, tidak dikau peroleh? Semuanya Tuhan makbulkan untukmu. Jika DIA tidak memberi apa yang dikau pinta, DIA akan memberi apa yang dikau perlu. Jika DIA tidak memberi di duni, DIA akan memberi di akhirat sana.
"Apakah kamu tidak melihat bahawa ALLAH SWT menundukkan bagimu apa yang ada di bumi, dan bahtera yang berlayar di lautan dengan perintah-NYA, dan DIA menahan (benda-benda) yang di langit daripada jatuh ke bumi melainkan dengan izin-NYA? Sesungguhnya ALLAH SWT benar-benar Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang kepada manusia."
(Al-Hajj, 65)
Sedarkah dikau akan hakikat itu? Perhatikan langit yang tiada berbumbung. Di atas sana, terdapat pelbagai jisim yang besar, bintang, dan segalanya. Mengapa dikau belum pernah ditimpa oleh semua itu pada saat tiada siapa yang menahannya? Lihat pada bumi, adakah pagar antara lautan dan daratan? Mengapa air lautan tidak pernah melimpah dan menggelamkan halamanmu? Lihat pada hutan dan perumahan. Siapa yang memasang sempadan? Tiada. Namun, mengapa si belang, gajah, serta lainnya belum pernah walaupun sekali datang ke halamanmu dan memusnahkan segalanya? Dikau fikir mereka tidak mampu? Gajah mampu berjalan ratusan kilometer. Si belang mampu merentas ratusan batu jauhnya. Tetapi mengapa mereka masih berdiam di hutan pada saat daging manusia berkeliaran di persekitaran? Ia bukti kasih ALLAH SWT kepadamu. ALLAH SWT menundukkan segala apa yang di langit dan di bumi untukmu dan untuk kemudahan dirimu. Perhatikan pada bait akhir firman tadi. Apa yang ALLAH SWT katakan padamu?
"...Sesungguhnya ALLAH SWT benar-benar Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang kepada manusia..."
(Al-Hajj, 65)
Bagaimana pula dengan hatimu? Setelah Tuhan menyatakan cintanya, di mana dikausembunyikan cintamu itu? Sahabat, hari ini manusia hanya mengingati ALLAH SWT bila ditimpa musibah dan bencana. Namun, pada saat gelak tawa dan puncak jaya, mereka meninggalkan ALLAH SWT. Tidakkah kita sedar, bahasa cinta ALLAH yang dipergunakan khas untuk kita? Sahabat... fikir! Fikir sebentar, siapa ALLAH? Ya, ALLAH itu Tuhan kita, raja segala raja. Tuhan segala hamba. Lalu, jika tuan yang memulakan dahulu bahasa cintanya, tanpa dihiraukan dan dibalas oleh si hamba, apakah baik hamba itu? Apakah gelaran yang selayaknya dikalungkan pada leher hamba itu?
Manusia yang mengejar cinta ALLAH SWT, melafazkannya, akan dianggap gila. Ada yang menuduh mereka obses bukan pada tempat. Tetapi, apabila manusia mengejar cinta sesama mereka, ramai menyokong, memberi galakan dan semangat. Walhal sifat cinta yang mengalir dalam darah manusia itu adalah titisan sifat AR-RAHIM, Tuhan Yang Maha Penyayang. Mengapa dikalungkan cinta yang berlebihan pada saat cinta ALLAH SWT masih belum kita beri sahutan? Dikau fikir, ALLAH SWT ini umpama manusia? Boleh ditolak cintanya atau andai hilang satu, pilih yang lainnya? Begitukah? Saksikan, siangmu pun ALLAH itu, malammu jua ALLAH itu, dikau di daratan pun ALLAH itu. Dikau di lautan pun ALLAH itu. Dikau di bumi pun ALLAH itu, dikau di bulan sekalipun, ALLAH itu juga. Pendek kata, ALLAH itu Maha Esa, tunggal satu! Andai cinta-NYA yang satu ini dikau tolak, carilah cinta yang lebih daripadanya itu andai dikau mampu. Kemudian, bandingkan semua cinta mereka dengan cinta Tuhanmu itu. Tanyakan pada hatimu, kau kejar keredaan siapa? Keredaan daripada manusia atau keredaan daripada yang Esa? Siapa DIA di hatimu?
Abdi-NYA : Roshidaya Abdul Rahim